Suspek serangan surau di Kelana Jaya sudah dikenal pasti - Polis

Umavathi Ramayah
Ogos 10, 2024 06:10 MYT
Polis sudah meneliti rakaman litar kamera tertutup (CCTV) berhampiran surau yang memaparkan pergerakan kereta yang digunakan suspek ketika kejadian. - Gambar fail/Astro AWANI
PETALING JAYA: Polis sudah mengenal pasti suspek yang melakukan serangan di Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah berhampiran sebuah sekolah agama rakyat di Jalan SS 5A/10 Kelana Jaya, di sini, pada Jumaat sehingga mencederakan dua wanita.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, polis sudah meneliti rakaman litar kamera tertutup (CCTV) berhampiran surau yang memaparkan pergerakan kereta yang digunakan suspek ketika kejadian.
Beliau memberitahu, seorang guru besar yang cedera lengan kiri telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk merakam keterangan.
Menurutnya mangsa yang berusia 52 tahun itu sudah dibenarkan keluar dari hospital manakala seorang lagi mangsa berusia 26 tahun yang cedera cedera di perut dan kepala masih lagi menerima rawatan di Hospital Shah Alam.
"Setakat ini kita sudah merakam percakapan tujuh individu berhubung kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Wanita cedera diserang ketika hendak menunaikan solat
Shahrulnizam memberitahu, polis masih menyiasat motif kejadian itu.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian membantu siasatan dengan menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.
Dalam kejadian pada pukul 1.48 tengah hari, dua wanita cedera dipercayai diserang seorang lelaki tidak dikenali menggunakan pisau berhampiran surau yang turut menempatkan sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA).
#serangan surau #Polis Diraja Malaysia #suspek sudah dikenalpasti #Seksyen 307 Kanun Keseksaan