Suspek serangan seksual di NZ akan disiasat di negara ini - Anifah Aman
Arfa Yunus
Julai 1, 2014 16:56 MYT
Julai 1, 2014 16:56 MYT
Kes pegawai diplomatik Malaysia yang dituduh atas cubaan merompak serta gangguan seksual ke atas seorang wanita New Zealand akan disiasat di Malaysia tetapi kerajaan sedia mengekstradisi suspek ke New Zealand jika perlu.
Demikian kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Anifah dalam satu sidang media yand diadakan di Wisma Putra di Putrajaya pada hari Selasa.
Anifah menamakan suspek sebagai Pegawai Waran II MINDEF yang bertugas sebagai Pembantu Staf Pertahanan di Wellington, Muhammad Rizalman Ismail, 38 .
Suspek telah dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei, 2014 bersama ahli keluarganya.
Dia kini berada di Malaysia selepas pihak New Zealand pada 12 Mei lalu menawarkan alternatif untuk suspek di bawa pulang ke negara ini memandangkan dia adalah kakitangan suruhanjaya tinggi yang dilindungi di bawah kekebalan diplomatik.
Ketika ditanya pemberita sama ada suspek akan diekstradisi ke New Zealand atau tidak, Anifah berkata hanya sekiranya keadaan memerlukan, kerajaan Malaysia akan membatalkan kekebalan diplomatik suspek.
“Malaysia tidak akan menarik balik kekebalan imuniti terhadap seorang diplomatnya yang menjadi suspek kes serangan seksual di New Zealand, kecuali ia diperlukan,” kata Anifah.
Katanya lagi, siasatan akan dijalankan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang telah pun menubuhkan satu Badan Siasatan Khusus bagi menyiasat perkara itu.
“Hanya sekiranya perlu, pada pendapat kita untuk melakukannya (mengenepikan kekebalan) kita akan lakukan, tanpa ragu-ragu,” kata Anifah.
“Kita amat yakin dengan lembaga siasatan MINDEF dan pihak MINDEF akan berkomunikasi dengan pihak berkuasa New Zealand.”
Rizalman menurutnya turut menjalani ujian kesihatan mental dan fizikal di Pusat Perubatan MINDEF pada 29 Mei . Ujian air kencing dan darah turut dijalankan ke atas suspek. Keputusan ujian kesihatan itu adalah memuaskan.
Rizalman kini masih berada di Hospital Tentera Tuanku Mizan bagi penilaian tahap kesihatan mental dan emosinya.
Tambah Anifah, pihak berkuasa New Zealand juga bekerjasama dalam mendapatkan bukti yang diperlukan.
Menurut Anifah, PesuruhjayaTinggi Malaysia di New Zealand telah mengadakan perbincangan bersama Timbalan Ketua Protokol dari Kementerian Luar dan Perdagangan New Zeland selain pegawai polis New Zealand mengenai perkara ini.
"MINDEF juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas keatas suspek di bawah Akta Angkatan Tentera 1972, jika ia terbukti tanpa sebarang keraguan bahawa tertuduh bertanggungjawab serta telah melakukan kesalahan seperti yang didakwa," katanya.
Tertuduh ditahan oleh polis New Zealand pada 9 Mei 2014 dan dibawa ke mahkamah pada 10 Mei atas tuduhan cubaan merompak serta gangguan seksual ke atas seorang wanita dengan niat merogol.
Identiti suspek sebelum ini dirahsiakan tetapi mahkamah New Zealand hari ini telah menarik balik larangan terbabit selepas menerima desakan dari pihak media.