Suspek serang dua wanita di surau di Kelana Jaya dituduh Isnin ini - Polis

Umavathi Ramayah
Ogos 16, 2024 17:55 MYT
Pertuduhan itu akan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - Gambar fail/Astro AWANI
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang menyerang dua wanita di kawasan Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah berhampiran Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya, di sini, pada minggu lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Isnin ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, pertuduhan itu akan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
"Selepas siasatan lengkap dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, kita dapat arahan untuk menuduh suspek utama pada Isnin ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Shahrulnizam memberitahu, rakan suspek berusia 55 tahun yang ditahan selepas disyaki bersubahat menyembunyikan lelaki itu dalam rumah di kawasan Kajang dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari 9 Ogos lalu, lelaki berusia 46 tahun itu disyaki menikam seorang wanita berusia 26 tahun di dalam tandas surau dan mencederakan guru besar wanita berusia 52 tahun ketika cuba menyelamatkan mangsa.
Suspek yang bersenjatakan pisau bagaimanapun sempat melarikan diri dipercayai menaiki kenderaan jenis Audi.
Justeru polis menahan suspek utama dan rakannya yang bersubahat menyembunyikan lelaki itu di dalam rumahnya di kawasan Kajang
Difahamkan suspek yang bersembunyi di rumah rakannya itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang kediaman itu, namun berjaya diberkas.
Semakan polis juga mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan jenayah membabitkan samun, curi dan curi kenderaan.
#Mahkamah Majistret #serangan surau #cubaan membunuh #cedera