Suspek sanggup guna isteri, anak kaburi kegiatan jenayah
Bernama
Ogos 23, 2016 09:38 MYT
Ogos 23, 2016 09:38 MYT
Seorang penganggur sanggup mempergunakan isteri dan dua anaknya untuk mengaburi kegiatannya memecah masuk premis di sekitar daerah ini serta di Rawang dan Gombak, Selangor.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Adzli Abu Shah berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 pagi 9 Ogos lepas, bersama rakan sejenayahnya yang berumur 32 tahun, dalam sebuah kereta yang turut dinaiki isteri dan dua anaknya.
"Suspek mendedahkan dia membawa isteri dan dua anaknya yang berusia setahun lima bulan dan 10 tahun, bagi mengaburi mata polis dan masyarakat.
"Ketika melakukan jenayah pecah rumah, suspek akan meninggalkan isteri dan dua anaknya di pantai, pusat peranginan dan rumah saudara-mara isterinya di sini," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Adzli berkata ketika ditahan, polis turut menjumpai peralatan pecah rumah seperti spanar, playar dan topeng muka ski yang disembunyikan di bawah alas kaki tempat duduk penumpang hadapan.
"Hasil siasatan, kami membebaskan isteri dan anak suspek dan percaya mereka tidak terlibat dengan kegiatan jenayah itu.
"Susulan itu, polis turut menahan tiga lagi individu iaitu ibu suspek yang berusia 54 tahun, seorang lelaki warga India kerana menjadi pembeli hasil barang samun dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun," katanya.
Beliau berkata ibu suspek ditahan kerana barang samun tersebut dijumpai di rumahnya di Gombak dan hasil siasatan lanjut polis percaya ibunya tidak terlibat dengan kegiatan jenayah anaknya.
"Warga India itu pula yang memiliki kedai runcit di Gombak dan masih mempunyai permit yang sah, telah didakwa Khamis lepas mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi," katanya.
Adzli berkata suspek yang menyasarkan rumah kedai dan kopitiam, mengaku terlibat dengan tujuh kes pecah masuk di daerah ini dan lapan kes di Gombak dan Rawang.
"Kedua-dua suspek utama ini juga positif dadah jenis morfin dan syabu, selain tidak mempunyai rekod jenayah.
"Polis akan meneruskan siasatan lagi kerana suspek tidak memberikan kerjasama penuh dan kami percaya mereka terlibat dalam banyak lagi kes pecah masuk premis," katanya.