Suspek samun mati ketika bergelut dengan penghuni rumah

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 14, 2019 21:14 MYT
Suspek dipercayai mengacukan pisau ke arah mangsa sebelum berlaku pergelutan antara suspek dengan anak mangsa. - Media sosial
Seorang lelaki bersenjatakan pisau dipercayai penagih dadah, maut selepas bergelut dengan penghuni rumah di Kampung Lata Kekabu, Lenggong, pada Rabu.
Dalam kejadian jam 6.50 pagi, suspek berusia 30-an dipercayai memecah masuk rumah yang didiami ibu tunggal berusia 30-an bersama anak lelakinya berusia 16 tahun.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati suspek bersenjatakan pisau memasuki rumah melalui pintu utama.
Menurutnya, suspek dipercayai mengacukan pisau ke arah mangsa sebelum berlaku pergelutan antara suspek dengan anak mangsa.
“Anak lelaki mangsa dipercayai berjaya menjatuhkan suspek ke lantai sebelum suspek disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Lenggong,” katanya hari ini.
Ismail berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat dan punca sebenar kematian masih dalam siasatan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.
#pecah rumah #penghuni rumah #penyamun mati #samun
;