Suspek samun kedai emas di Plaza Metro Kajang ditembak mati

Umavathi Ramayah
Ogos 13, 2024 13:22 MYT
Pada 17 Jun lalu, empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di Kajang yang dianggarkan mengalami kerugian RM3.2 juta. - Gambar fail/Facebook
KAJANG: Suspek kes samun kedai emas di Plaza Metro Kajang, pada 17 Jun lalu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di susur masuk ke Tol Sungai Balak, Lebuhraya SILK di sini, petang Selasa.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan bertindak menahan sebuah kereta jenis Perodua.
Namun kata beliau, suspek enggan menghentikan kereta dan terus bertindak melepaskan tembakan ke arah polis.
"Bagi mempertahankan diri, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan dan suspek dipercayai mati terkena tembakan itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Hussein memberitahu, seorang anggota polis turut terkena tembakan yang dilepaskan suspek, namun terselamat.
"Berdasarkan semakan, kita mendapati suspek lelaki tempatan berusia pertengahan 30-an itu mempunyai enam rekod jenayah samun termasuk terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai di Plaza Metro Kajang beberapa bulan yang lalu," katanya.
Beliau menjelaskan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Pada 17 Jun lalu, empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak kedai emas di sebuah pusat beli belah di Kajang yang dianggarkan mengalami kerugian RM3.2 juta.
Kesemua suspek yang memakai topeng dan bersarung tangan gelap itu masuk ke premis di tingkat satu dan terus memecahkan cermin pameran emas menggunakan tukul besi dan mengambil barang kemas.
#samun kedai emas #ditembak mati #Plaza Kajang #tembakan