Suspek rogol remaja 13 tahun diberkas

Sinar Harian
Julai 29, 2018 12:18 MYT
Selepas berjumpa di sebuah restoran makanan segera di pusat membeli belah, suspek mengarahkan mangsa ke sebuah kedai kosong dan bertindak merogol mangsa. - Foto Sinar Harian
Seorang lelaki direman selama enam hari selepas dipercayai merogol seorang remaja berusia 13 tahun dalam kejadian yang berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Perai di sini, Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan yang dilakukan mendapati suspek menggunakan aplikasi sosial WeChat untuk memperdayakan mangsa sebelum mengajaknya keluar dan bertindak merogol pelajar tingkatan satu itu di sebuah kedai kosong di dalam pusat membeli-belah berkenaan.
“Suspek berkenalan dengan mangsa sejak Mei tahun lalu dan dia dikatakan mahu mengajar mangsa cara untuk membesarkan payu dara. Mangsa menyangka kenalannya itu perempuan berdasarkan gambar profil yang digunakan suspek.
“Mangsa telah menghantar beberapa keping gambar payu daranya kepada suspek kerana untuk mengetahui perubahan namun tidak menyangka suspek bertindak mengugut mahu menyebarkan gambar berkenaan sekiranya mangsa tidak mahu berjumpa dengannya,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata,selepas berjumpa di sebuah restoran makanan segera di pusat membeli belah berkenaan, suspek mengarahkan mangsa ke sebuah kedai kosong dan bertindak merogol mangsa.
Difahamkan, suspek cuba memperdayakan seorang lagi wanita di pusat membeli-belah yang sama semalam namun belum sempat dia berbuat apa-apa terhadap wanita itu, lelaki berkenaan berjaya diberkas polis.
Nik Ros Azhan berkata, soal siasat yang dilakukan terhadap suspek berkenaan mengakui pernah memperdayakan tiga wanita lain dengan menggunakan modus operandi yang sama.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan suspek untuk memperdayakan mangsanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 kerana merogol,”katanya.
#Bukit Mertajam #mangsa #pelajar #polis #rogol #Seberang Perai #suspek #wanita #WeChat