Suspek racun haiwan di Zoo Melaka direman
Astro Awani
Februari 20, 2013 18:16 MYT
Februari 20, 2013 18:16 MYT
Seorang lelaki berusia 65 tahun direman berhubung kes meracun beruang matahari dan kuda lumba spesis 'Thoroughbred' sehingga mati di Zoo Melaka Ahad dan Isnin lagi.
Suspek dikenal pasti sebagai peniaga dan bukannya pekerja zoo seperti mana yang didakwa sebelum ini.
Suspek direman empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan itu.
Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mendedahkan motif tindakannya.
Dia dipercayai semata-mata datang ke zoo itu bagi melakukan jenayah.
Suspek ditahan pada jam 1 pagi ini di sebuah taman perumahan di Kulai Besar, Johor.
Sebuah kenderaan dan barangan berkaitan dengan perbuatan jenayah berkenaan turut dirampas.
Penangkapan dibuat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup.
Kes disiasat di bawah Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membunuh atau mencederakan haiwan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda.
Beruang betina berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun itu ditemui mati pada 5 petang Ahad lepas.
Manakala kuda lumba berumur 17 tahun ditemui mati 7 pagi Isnin disyaki diracun melalui makanan.