Suspek pukau di Perlis dikehendaki polis negeri lain

Adie Sufian Zulkefli
Jun 10, 2023 13:10 MYT
Ketiga-tiga suspek termasuk seorang warga Indonesia yang berusia 52 hingga 65 tahun itu turut dikehendaki di negeri lain atas jenayah penipuan menggunakan modus operandi sama. - Astro AWANI
KANGAR: Polis telah melengkapkan kertas siasatan ke atas tiga lelaki yang ditahan sejak 3 Jun lalu kerana disyaki menipu seorang suri rumah membabitkan barang kemas bernilai RM19,000 dipercayai dengan cara memukau di Pasar Besar Perlis, di sini.
Namun pertuduhan terhadap kesemua suspek masih belum dapat dikenakan berikutan ketiga-tiga suspek turut dikehendaki atas kes sama di beberapa negeri lain.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, ketiga-tiga suspek termasuk seorang warga Indonesia yang berusia 52 hingga 65 tahun itu turut dikehendaki di negeri lain atas jenayah penipuan menggunakan modus operandi sama.
"Tahanan reman ke atas ketiga-tiga mereka sudah pun tamat dan kita sudah melengkapkan siasatan namun suspek termasuk seorang warga Indonesia dan seorang pemastautin tetap belum lagi dapat dituduh di mahkamah sebab mereka dikehendaki di beberapa negeri lain atas jenayah yang sama.
"Siasatan awal polis percaya kumpulan ini aktif melakukan jenayah penipuan sejak dari awal tahun ini. Di Perlis sahaja, terdapat dua laporan polis dibuat berhubung penipuan yang dilakukan.
"Suspek menggunakan modus operandi memujuk sebelum memperdaya mangsa dengan menawarkan khidmat pemulihan kesihatan kepada mangsa. Kerugian bagi kedua-dua kes berkenaan dianggarkan sekitar RM24,000," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Katanya, berdasarkan semakan pihaknya juga mendapati dua suspek termasuk seorang pemastautin tetap negara ini mempunyai rekod jenayah lampau.
Jelas Yusharifuddin, suspek warga tempatan berusia 56 tahun didapati mempunyai rekod jenayah membabitkan pecah rumah, samun dan cabul manakala seorang lagi suspek berusia 64 tahun dan pemastautin tetap Malaysia juga berasal dari Indonesia didapati mempunyai rekod jenayah silam membabitkan kes curi dan imigresen kerana melindungi pendatang asing tanpa izin.
"Kita sudah serahkan suspek kepada polis di kontinjen lain untuk meneruskan siasatan mereka," ujarnya.
Pada 3 Jun lalu, Astro AWANI melaporkan polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia kerana disyaki menipu seorang suri rumah dan melarikan barang kemas milik mangsa bernilai RM19,000 di Pasar Besar Perlis, di Sena, Kangar.
Dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun itu dipercayai dipukau selepas didatangi dua lelaki, seorang daripadanya warga Indonesia yang tidak dikenali menawarkan kepadanya pemeriksaan perubatan.
#pukau
;