Suspek positif COVID-19, polis nafi Balai Polis Bentong ditutup

Bernama
Disember 5, 2020 21:15 MYT
Zaiham berkata ketiadaan pegawai dan anggota terlibat bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan operasi dan urusan pentadbiran balai tersebut.
KUANTAN: Polis menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial hari ini kononnya Balai Polis Bentong, kira-kira 162 kilometer dari sini, ditutup kepada orang awam selepas seorang suspek yang ditahan disahkan positif COVID-19.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata operasi balai polis berkenaan berjalan seperti biasa, dan pihaknya telah melakukan proses sanitasi dengan kerjasama pihak bomba sebagai langkah berjaga-jaga.
"Proses sanitasi dijalankan sebaik sahaja kita mendapat keputusan ujian saringan suspek lelaki berumur 58 tahun yang ditahan pada Khamis positif COVID-19. Suspek juga telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) di Temerloh untuk rawatan.
"Sebagai langkah berwaspada, seramai 40 pegawai serta anggota yang dikenal pasti berada berhampiran suspek kini melaksanakan kuarantin kendiri dan akan menjalani ujian saringan dalam masa terdekat," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Zaiham berkata ketiadaan pegawai dan anggota terlibat bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan operasi dan urusan pentadbiran balai polis tersebut.
Beliau juga berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat, sebaliknya menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa.
Dakwaan yang tular itu menyebabkan ada penduduk Bentong ingin mendapatkan pengesahan dan lokasi balai polis berhampiran kononnya sebagai alternatif selepas balai polis itu ditutup.
-- BERNAMA
#balai polis bentong #IPD #suspek ditahan #positif COVID-19 #Zaiham Mohd Kahar #Ketua Polis Daerah Bentong #HOSHAH
;