Suspek pembunuh Norazita didakwa atas tuduhan membunuh

T K Letchumy Tamboo
November 19, 2013 12:02 MYT
Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai Ambank Subang Jaya, Norazita Abu Talib, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dakwaan membunuh.
Lelaki warga Indonesia yang bernama La Ode Ardi Rasila itu, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang berusia 36 tahun itu, turut didakwa atas pertuduhan kedua di bawah Sekyen 30 Akta Senjata Api 1971 yang membawa hukuman gantung sampai mati walaupun orang yang ditembak tidak tercedera.
Tiada pengakuan direkodkan dari lelaki yang berasal dari Sulawesi itu.
Dia juga tidak diwakili oleh peguam semasa pendakwaan dilakukan.
Hakim kemudiannya memerintahkan kedua-dua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam serta-merta selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan.
Dalam kejadian pada pukul petang 23 Oktober itu, Norazita,37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.
Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.
Suspek kemudian melarikan sejumlah RM450,000 dari bilik kebal itu.
Pihak polis berjaya menangkap lelaki itu pada 11 November di Johor Bahru.
#ambank #dakwa #Norazita Abu Talib #pegawal keselamatan #suspek #tembak
;