Suspek pecah cermin kereta di kawasan LRT Awan Besar ditahan

Sinar Harian
Julai 11, 2024 19:17 MYT
Antara cermin kereta yang dipecahkan di kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil, pada 2 Julai lalu. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Insiden cermin beberapa buah kereta yang diletakkan di tepi jalan kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil, 2 Julai lalu dipecahkan terungkai apabila seorang individu ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan itu ditahan kira-kira jam 7 malam pada Rabu di sekitar kawasan Razak Mansion.
"Suspek berumur 42 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras susulan siasatan yang dijalankan berhubung kejadian.
"Semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, suspek turut dipercayai terlibat dalam beberapa kes kecurian dan pecah rumah sekitar Cheras.
"Suspek kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.
Sinar Harian pada 2 Julai lalu melaporkan tular satu video menunjukkan cermin beberapa buah kenderaan dipercayai dipecahkan oleh individu tidak dikenali di kawasan LRT Awan Besar, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Susulan itu, enam laporan polis telah diterima berhubung kejadian terbabit dan siasatan selanjutnya dijalankan bagi mengesan individu terlibat. -Sinar Harian
#pecah cermin kereta #kes kecurian dan pecah rumah #Bukit Jalil #LRT Awan Besar