Suspek nahas jalan raya ragut nyawa suami isteri dituduh pagi ini

Bernama
Mac 9, 2021 07:17 MYT
Suspek yang memandu van dalam nahas yang meragut nyawa sepasang suami isteri di Jalan Saujana Impian, Kajang, akan didakwa di mahkamah pagi ini. -Gambar fail
KAJANG: Seorang suspek lelaki yang memandu kenderaan sehingga mengakibatkan sepasang suami isteri maut dan dua anak mereka cedera dalam kemalangan jalan raya di Jalan Saujana Impian, Kajang, dekat sini, Ahad lepas, akan didakwa di mahkamah pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata suspek yang merupakan seorang warga tempatan berusia 28 tahun, akan dituduh di Mahkamah Kajang pada 9 pagi.
“Suspek akan didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Ahad lepas, pasangan suami isteri berkenaan yang dikenali sebagai Remyzan Baharudin, 42, dan isteri Suzyla Ahmad Dahlan, 40, dan dua anak mereka cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan van di jalan berkenaan.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 4 petang itu, kereta yang dinaiki mereka telah bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan yang hilang kawalan, sebelum merempuh penghadang jalan dan memasuki laluan mereka.
-BERNAMA
#suami isteri maut #dituduh hari ini #kemalangan jalan raya #Jalan Saujana Impian #Mohd Zaid Hassan #Seksyen 41 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987 #Remyzan Baharudin #Suzyla Ahmad Dahlan
;