Suspek mungkin pembunuh upahan - Mohmad Salleh

Nabihah Hamid
Julai 30, 2013 16:18 MYT
Sidang media Ketua Polis KL, Datuk Mohmad Salleh
Susulan kes tembak yang menyebabkan Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi maut semalam, Polis Kuala Lumpur mengesyaki individu tersebut merupakan pembunuh upahan.
Menurut Ketua Polis KL, Datuk Mohmad Salleh beberapa imej dan gambaran suspek dikenalpasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan di sekitar kuil di lokasi kejadian.
Tambah beliau, dalang sebenar disebalik pembunuhan masih belum dikenalpasti. Walaubagaimanapun, pihak polis telah mengenalpasti tujuh saksi yang turut berada ditempat kejadian bagi membantu siasatan.
"Kita sudah (kenalpasti) ramai saksi dan sekarang kita nak padankan kenyataan mereka untuk (mendapatkan gambar) menjurus ke arah spesifik agar suspek boleh dikenalpasti dengan lebih spesifik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis KL.
Polis juga tidak menolak kemungkinan pembunuhan ini mempunyai kaitan dengan urusan jual beli hartanah.
Sementara itu, isteri mangsa yang turut tercedera waktu kejadian ditempatkan di Hospital Prince Court dan beliau dilaporkan berada dalam keadaan yang stabil.
Pihak polis bagaimanapun masih lagi belum mengambil keterangan dari mangsa.
Semalam, Hussain Ahmad Najadi ditembak mati manakala isterinya cedera parah ditembak dari jarak dekat di sebuah kawasan meletak kereta selepas keluar dari sebuah tokong cina, Kuan Yin Temple di Lorong Ceylon di Kuala Lumpur.
Kejadian berlaku kira-kira jam dua petang ketika mangsa datang ke tokong itu berjumpa dengan seorang rakannya untuk berbincang mengenai urusan jual beli saham.
#Hussain Ahmad Najadi #maut #Mohmad Salleh #Pengasas Arab Malaysian Bank #polis
;