Suspek menyamar mahu beli emas sebelum larikan rantai
Sinar Harian
Januari 31, 2022 12:29 MYT
Januari 31, 2022 12:29 MYT
KULIM: Seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan kononnya ingin membeli seutas rantai emas sebelum melarikan barang kemas bernilai lebih kurang RM20,000, di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian di sebuah premis di Jalan Tunku Abidah kira-kira jam 5.50 petang itu suspek berusia lingkungan 30-an telah memperdaya mangsa bertanyakan tentang sejenis rantai yang diinginkan.
Difahamkan, bapa kepada pemilik kedai kemudian menunjukkan sejenis rantai emas yang lain setelah rekaan seperti yang diminta, tiada di kedai tersebut.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, mangsa kemudian menunjukkan rantai seberat 79 gram yang dianggarkan bernilai RM20,000.
"Barang kemas itu dibawa keluar dari peti kerana suspek mengatakan mahu melihat terlebih dahulu.
"Secara tiba-tiba, suspek melarikan rantai tersebut menggunakan motosikal," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, suspek memakai baju T warna merah, berseluar kelabu, bertopi hitam dan menutup bahagian muka dengan menggunakan pelitup muka.
"Pemeriksaan mendapati motosikal ditunggang suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan telah didaftarkan atas nama seorang individu lain di Selangor.
"Kedai emas terbabit juga didapati tiada pengawal keselamatan namun perbuatan suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
"Ketika kejadian, terdapat pemilik kedai, adik ipar dan bapanya sedang melayan empat pelanggan termasuk suspek,"katanya.
Menurutnya, usaha mengenal pasti dan mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
*Berita asal di Sinar Harian