Suspek, mangsa kes bunuh berkenalan menerusi aplikasi 'gay'

Sinar Harian
Julai 18, 2022 07:30 MYT
Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit mengenali mangsa menerusi satu aplikasi 'gay' di media sosial. -Gambar hiasan
PETALING JAYA: Polis dalam proses mengenal pasti identiti mangsa kes bunuh yang dipercayai terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di Kelana Jaya, di sini pada 12 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, setakat ini masih belum ada individu tampil bagi bagi mengenal pasti identiti mangsa yang dipercayai warga asing itu.
"Siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, berdasarkan hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek terbabit mengenali mangsa menerusi satu aplikasi 'gay' di media sosial.
"Mangsa dipercayai sudah beberapa kali datang bertemu kedua suspek di lokasi kejadian yang juga rumah suspek.
"Mangsa dipercayai meninggal dunia sehari sebelum mayatnya dijumpai oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan dalam keadaan bogel," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Petaling Jaya di sini pada Isnin.
Sebelum ini, polis menahan dua lelaki tempatan berumur 40-an yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh melibatkan seorang individu di sebuah kondominium di Kelana Jaya di sini pada 12 Julai lalu. -Sinar Harian
#terjatuh dari tingkat 17 #aplikasi gay #Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid #warga asing
;