Suspek larikan barang kemas di Teluk Intan ditahan di Ipoh

Aida Aziz
Julai 16, 2022 14:21 MYT
Suspek bertindak mencuri dan membawa barang kemas tersebut keluar dari kedai tanpa membayarnya. - Video CCTV/PDRM
TELUK INTAN: Seorang lelaki berpura-pura bertanyakan barang kemas sebelum melarikan tiga utas rantai emas bernilai RM35,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Mahkota Teluk Intan, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun suspek lelaki berusia 45 tahun itu berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di kawasan perumahan Jalan Lapangan Siber, Bandar Cyber, Ipoh semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada Khamis lalu.
"Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak terima maklumat daripada seorang wanita (pemilik kedai emas), mengatakan ada kejadian melarikan barang kemas di kedai emas miliknya.
"Siasatan polis di tempat kejadian mendapati, kejadian berlaku pada 14 Julai kira-kira jam 4.30 petang, di mana mangsa (pemilik kedai emas) bersama tiga orang pekerjanya sedang menjaga kedai.
"Tiba-tiba, datang seorang lelaki bertanyakan untuk melihat beberapa utas rantai tangan, lalu pekerja kedai itu telah memberi beberapa utas pilihan untuk dilihat oleh suspek.
"Secara tiba-tiba suspek bertindak mencuri dan membawa barang kemas tersebut keluar dari kedai tanpa membayarnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, antara barangan yang hilang dan dicuri ialah dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher.
Ahmad Adnan berkata, setelah itu pemilik kedai emas menjerit meminta tolong namun suspek telah melarikan diri dengan menaiki kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback warna coklat.
Kereta itu diletakkan lebih kurang 50 meter dari kedai tersebut sebelum menghilangkan diri.
"Semakan nombor plat kenderaan yang digunakan adalah atas pemilik suspek sendiri yang mana mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes narkotik.
Beliau berkata, ketika tangkapan dibuat, turut dirampas adalah barang kes yang dilaporkan hilang.
Katanya lagi, ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Tambah Ahmad Adnan, suspek telah dibenarkan reman selama tujuh hari mulai hari ini hingga Jumaat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.
#kedai emas #larikan barang kemas #Teluk Intan #PDRM
;