Suspek khianat surau ditahan
Astro Awani
Ogos 20, 2019 10:58 MYT
Ogos 20, 2019 10:58 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang gelandangan yang dipercayai menceroboh dan melakukan khianat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields pagi semalam.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan sekitar Taman Desa pada jam 6.30 petang hari sama dan merampas tukul besi yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan khianat.
"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek memecahkan beberapa peralatan dalam surau, antaranya mimbar, jam dinding dan papan tanda AJK Surau.
"Jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM2,000," katanya dalam kenyataan.
Siasatan lanjut turut mendapati suspek didapati positif dadah serta mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah dan curi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.
#gelandangan
#khianat
#Madrasathul Gouthiyyah
#mimbar
#Roslan Bek Ahmad
#surau
#Surau Brickfields
#Taman Desa