Suspek khianat rumah ibadat di Kota Bharu direman

Muhafandi Muhamad
Januari 9, 2018 23:04 MYT
Reman dilakukan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Seorang kakitangan awam di sebuah hospital ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes khianat dua rumah ibadat di Kota Bharu, Ahad lepas.
Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Sesyen, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Reman dilakukan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Suspek ditahan jam 1.30 petang semalam di rumahnya di Pasir Mas sebelum dibawa mendapatkan perintah reman siang tadi.
Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif pil kuda atau metaphitamine.
Pada Ahad lepas, dua buah rumah ibadat masing-masing Gereja Methodist Kota Bharu dan Kuil Arulmigu Subramaniyar Siva di Jalan Hamzah, Kota Bharu mengalami kerosakan akibat dibaling dengan penapis air yang diubah suai.
Sementara itu, ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan dalam sidang medianya petang tadi memaklumkan, suspek yang berusia 34 tahun itu mempunyai seorang isteri yang juga penjawat awam.
BACA: Gereja, kuil di Kota Bharu dibaling 'penapis air berapi'
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian selepas mendengar bisikan menyuruhnya melakukan perbuatan khianat di rumah ibadat bukan Islam.
Suspek juga dikatakan mengalami tekanan perasaan selepas kematian ibunya tahun lalu.
“Siasatan awal dikatakan suspek tertekan disebabkan kematian ibunya, kemudian timbul dalam kepalanya halusinasi yang menyuruh beliau buat satu perkara terhadap rumah ibadat bukan beragama Islam,” katanya.
Menurut polis, dengan penahanan suspek tersebut, kes berkenaan dianggap selesai.
Dalam tangkapan tersebut, pihak polis turut merampas baju, seluar, dua penapis air dan batu yang dipercayai digunakan oleh suspek.
Dua bangunan rumah ibadat tersebut turut mengalami kerosakan pada bahagian tingkap.
#Kota Bharu #Pasir Mas #penapis air #penjawat awam #polis #siasatan
;