Suspek kes tetak di Kuala Nerus diburu

Bernama
Disember 28, 2017 17:33 MYT
Fazlisyam menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berkaitan satu kes tetak di Kuala Nerus pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen hari ini. --fotoBERNAMA
Polis Kontinjen Terengganu kini memburu seorang lelaki berumur 25 tahun bagi membantu siasatan kes tetak dengan senjata yang berlaku di Kampung Wakaf Tengah, Kuala Nerus, Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu, ACP Fazlisyam Abdul Majid berkata dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 36 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang setelah selesai urusan di bank namun disekat suspek sebelum kepalanya dipukul dengan sebatang besi.
Katanya, kejadian itu telah dileraikan orang ramai namun suspek yang tidak berpuas hati telah ke rumah mangsa lalu menyerangnya dengan sebilah pedang sebelum bertindak melarikan diri.
Susulan kejadian itu katanya mangsa mengalami kecederaan parah di tangan dan kepala akibat ditetak dengan pedang oleh suspek.
"Seorang lelaki Melayu telah mendapat kecederaan akibat ditetak dengan pedang dan parang...buat masa ini siasatan telah dibuat dan pihak polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat, kita masih dalam usaha mengesan kerana kita percaya suspek ini menyembunyikan diri," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Fazlisyam berkata motif serangan dipercayai kerana suspek menganggap mangsa telah melaporkan kes jenayah suspek kepada pihak polis.
"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan. Kita juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai informasi mengenai keberadaan suspek agar menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu mengesan suspek," katanya.
Sementara itu katanya, pihaknya telah menahan seramai 420 daripada 859 penjenayah yang dikehendaki atas pelbagai kesalahan jenayah sepanjang tahun ini.
"Seramai 380 orang daripadanya dicekup melalui operasi yang dilancarkan sepanjang 2017 dan selebihnya berdasarkan sumber orang awam atau suspek menyerah diri.
"Selain itu, penyebaran gambar dan maklumat suspek ke media sosial Facebook serta hebahan oleh media massa turut menyumbang kepada tertangkapnya sebahagian daripada penjenayah tersebut," katanya.
Beliau berkata 36 suspek telah ditahan yang mana 15 orang daripadanya ditahan hasil maklumat masyarakat serta menyerah diri sejak hebahan di Facebook bermula pada 26 Sept lepas.
Pihaknya juga berjaya menyelesaikan lebih 65 peratus daripada keseluruhan kes-kes jenayah yang berlaku di Terengganu pada tahun ini iaitu meliputi kes yang telah dibawa ke mahkamah dan siasatan yang telah selesai, katanya.
-- BERNAMA
#cedera #Fazlisyam Abdul Majid #Kanun Keseksaan #Kuala Nerus #suspek #terengganu #Tetak
;