Suspek kes tembakan di KLIA direman 7 hari
Muhafandi Muhamad
April 16, 2024 09:30 MYT
April 16, 2024 09:30 MYT
KOTA BHARU: Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini, hari ini, membenarkan suspek yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hujung minggu lalu ditahan reman selama tujuh hari.
Perintah reman hari ini sehingga 22 April (Isnin) itu dikeluarkan Hakim Rais Imran Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas suspek.
Sebelum itu, suspek yang memakai baju lokap bewarna ungu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu dengan iringan ketat anggota polis sekitar jam 8.30 pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi Ahad, seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek tercedera akibat terkena tembakan tersebut.
Akibat kejadian itu, pengawal peribadi berkenaan dikejarkan ke hospital berdekatan dan kini dilaporkan stabil.
Pada Isnin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 38 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu, hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman
Menurut Mohd Shuhaily, suspek berada dalam keadaan sihat secara fizikalnya.
Terdahulu media melaporkan, selepas melarikan diri lebih daripada 36 jam, akhirnya suspek lelaki, Hafizul Harawi, 38, yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA, Sepang ditahan polis, pada Isnin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata suspek ditahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, kira-kira jam 3 petang semalam.