Suspek kes tembak di KLIA pernah belajar di pondok

Sinar Harian
April 16, 2024 13:24 MYT
Mohd Shuhaily (dua, kiri) memeriksa kereta yang digunakan oleh suspek untuk melarikan diri semasa sidang akhbar di IPK Kelantan pada Selasa.
KOTA BHARU: Suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad pernah mengikuti pengajian di sebuah pondok di Repek, Pasir Mas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil ujian dilakukan pada Isnin mendapati suspek yang berusia 38 tahun itu fasih dengan ayat-ayat al-Quran dan sebagainya.
"Suspek memang orang berkebolehan dalam agama.
"Berkenaan dengan tindakan suspek ke Kelantan, dia lahir di Selangor, membesar di Kuala Lumpur tapi pernah belajar di pondok di sini (Kelantan)," kepada semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily berkata, walaupun pernah belajar pondok di Kelantan, namun suspek dikatakan tidak berjumpa sesiapa untuk meminta bantuan.
"Sebaik sahaja kes tembakan di KLIA, dia terus memandu ke sini (Kelantan)," katanya.
Mohd Shuhaily berkata, semasa ditahan suspek berada dalam keadaan sihat dan normal.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi pada Ahad, suspek berusia 38 tahun melepaskan dua das tembakan di Balai Ketibaan KLIA dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu jemaah umrah.
Bagaimanapun, satu das tersasar, manakala satu lagi das mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan dilaporkan parah.
Suspek kemudian terus melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis di Kota Bharu, Kelantan, pada Isnin.
Suspek kemudian telah direman tujuh hari sehingga 22 April.
Siasatan awal polis dipercayai kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dengan isterinya. - Sinar Harian
#kes tembak KLIA #identiti suspek #Kelantan #belajar pondok
;