Suspek kes tembak anggota PGA tidak dapat diekstradisi ke Malaysia

Adie Sufian Zulkefli
Mac 26, 2021 21:50 MYT
Menurut Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Thailand dan kerana itu pihak berkuasa Thailand tidak dapat menyerahkan suspek kepada polis Malaysia. - Gambar fail/BERNAMA
KANGAR: Polis Perlis mendedahkan mereka mempunyai bukti kukuh tiga suspek utama warga Thailand yang terbabit dalam serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, November tahun lalu.
Bagaimanapun, menurut polis, ketiga-tiga suspek tersebut tidak dapat diekstradisi ke negara ini untuk ditangkap serta didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurut Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Thailand dan kerana itu pihak berkuasa Thailand tidak dapat menyerahkan suspek kepada polis Malaysia.
Surina berkata, pihaknya telah memasukkan data mereka ke dalam nama orang yang dikehendaki dan akan ditangkap serta dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Pejabat Peguam Negara mengarahkan supaya kita tunggu sehingga tiga warganegara Thailand itu masuk ke Malaysia.
"Setakat ini memang dari segi siasatan kita boleh kaitkan dengan tiga yang terlibat, jadi sekiranya mereka masuk melalui lorong tikus dan kita tangkap, kita akan dakwa bawah (Seksyen) 302 (Kanun Keseksaan) dan kalau dia masuk melalui laluan biasa pun sekiranya sempadan dibuka ada red alert, kita akan tangkap," katanya.
Surina berkata demikian selepas mengadakan pemeriksaan di Pos TS 9, TS 10 dan TS 11 berhampiran pos Sekatan Jalan Raya (SJR) Taman Radzi dekat Padang Besar, pada Jumaat.
Sementara itu, beliau memaklumkan, dua warga Thailand dan seorang warga tempatan berkaitan kes sama telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan dipenjara selama dua tahun.
Katanya, dua warga Thailand tersebut ditempatkan di Pusat Pemulihan Khas Bentong, Pahang manakala warga tempatan itu berada di Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam, Johor.
Dalam kejadian 24 November tahun lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala Sarjan Norihan Tari, 39, cedera dalam pertempuran dengan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos kawalan TS9, Padang Besar.
Susulan itu, polis giat memburu tiga suspek bagi membantu siasatan kes terbabit dan kini jumlah keseluruhan yang ditahan sebelum ini adalah seramai 52 suspek termasuk empat warga Thailand.
#tembak anggota PGA #warga Thailand #ekstradisi #Pasukan Gerakan Am #padang besar #Malaysia #Thailand #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #membunuh #Sarjan Baharuddin Ramli #Sarjan Norihan Tari
;