Suspek kes samun maut ditembak polis

Astro Awani
Jun 17, 2017 10:30 MYT
Katanya, polis turut menjumpai sepucuk pistol, 13 kelongsong dan beberapa butir peluru di dalam kenderaan suspek.
Polis menembak mati seorang lelaki yang aktif melakukan samun dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Berjaya, Bukit Mertajam, awal pagi Sabtu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.25 pagi ketika suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan diarah memberhentikan kenderaannya untuk tujuan pemeriksaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, suspek yang memandu kereta jenis Proton Iswara bagaimanapun bertindak memecut kenderaannya sejauh tiga kilometer menyebabkan polis terpaksa mengejarnya sebelum berjaya dipintas
Zainol berkata, sebaik pihaknya menghampiri kenderaan suspek untuk tujuan pemeriksaan, lelaki itu bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis menyebabkan pihaknya terpaksa membalas tembakan tersebut bagi mempertahankan diri.
Menurut Zainol, polis yang melakukan pemeriksaan kemudiannya mendapati suspek maut dalam keadaan terbaring di tempat duduk bahagian pemandu.
Katanya, polis turut menjumpai sepucuk pistol, 13 kelongsong dan beberapa butir peluru di dalam kenderaan suspek.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek merupakan individu yang dikehendaki polis berhubung beberapa kejadian samun termasuk samun peniaga barang kemas di Kuantan, Pahang tahun lalu yang membabitkan kerugian RM30,000.
Maklumat awal yang diterima polis mendapati suspek yang berusia 31 tahun itu sedang merancang untuk melakukan samun di sebuah kilang emas di Butterworth.
#pulau pinang #samun #suspek #Zainol Samah
;