Suspek kes samun kereta di Tumpat dalam senarai dikehendaki - Polis

Bernama
Februari 8, 2022 17:46 MYT
Supt Mohd Azmir (tengah) berkata, polis sudah kenal pasti dan yakin suspek masih berada di dalam negeri. - Bernama
TUMPAT: Lelaki yang melarikan diri dalam kejadian menyamun kenderaan sebelum kereta yang dinaiki tiga rakannya terbakar dalam kejadian di Jalan Wakaf Bharu-Palekbang di sini awal pagi Khamis lepas, berada dalam senarai dikehendaki polis.
Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Mohd Azmir Damiri berkata, hasil semakan mendapati suspek berumur 37 tahun itu dikehendaki bagi siasatan kes melarikan orang dengan salah di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK).
"Kita sudah kenal pasti dan yakin suspek masih berada di dalam negeri. Hasil semakan, suspek memiliki satu rekod lampau di Machang pada 2019.
"Kami yakin suspek yang beralamat di Kota Bharu dan tidak bekerja itu masih berada di dalam negeri ini dan saya minta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung dengan pihak kami," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan tiga lelaki dipercayai suspek kes samun, maut termasuk dua daripadanya rentung selepas kenderaan jenis Honda HRV yang dinaiki mereka merempuh tiang batu sebelum terbakar berdekatan Kampung Morak di sini, awal pagi tadi.
Suspek keempat yang memandu kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang dikejar pemilik kenderaan itu bagaimanapun meneruskan pemanduan sehingga terbabas di Kubang Kerian, Kota Bharu dan melarikan diri.
Mohd Azmir berkata pihaknya sedang menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dua mangsa yang rentung untuk mengenal pasti identiti mereka.
"Hasil soal siasat dengan pengadu yang juga pemilik pacuan empat roda memberitahu kenderaannya dilarikan dan kita juga masih belum dapat memastikan sama ada ia ada kaitan dengan sindiket tarik kereta atau ada motif lain," katanya.
-- BERNAMA
#samun kenderaan #Kanun Keseksaan #polis #senarai dikehendaki
;