Suspek kes pecah rumah ditembak mati polis
Astro Awani
Mac 9, 2018 13:12 MYT
Mac 9, 2018 13:12 MYT
Seorang lelaki warga asing yang terlibat dalam beberapa kes pecah rumah ditembak mati polis dalam kejadian yang berlaku di Taman Templer, Rawang Selangor awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, suspek dikatakan cuba menyerang anggota polis menggunakan parang sebaik sahaja menyedari didatangi pihak polis.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai cubaan pecah rumah di kawasan Templer Saujana, Gombak.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak kemudian bergegas ke lokasi sebelum mengesan seorang daripada tiga suspek di kawasan parit berdekatan Taman Templer.
"Ketika cuba menahan, suspek mahu menyerang polis menggunakan parang sebelum tembakan terpaksa dilepaskan polis untuk mempertahankan diri.
"Kita percaya dua lagi rakan jenayah suspek meloloskan diri sebaik sahaja mengetahui rakannya dikepung pihak polis," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Mazlan menambah, dengan tertumpasnya kumpulan itu, Polis Selangor berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 17 kes samun rantau di kawasan Rawang dan Selayang dengan jumlah kerugian RM266,000.
Kata beliau, pihaknya giat menjalankan Op Kesan bagi menjejaki dua suspek yang melarikan diri.
Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
#anggota polis
#Mazlan Mansor
#Op Kesan
#parang
#pecah rumah
#penjenayah
#Rawang
#Selangor
#Taman Templer