Suspek kes kemalangan lawan arus didakwa esok

Astro Awani
Mac 16, 2017 12:06 MYT
Suspek 19 tahun yang kini dalam reman itu akan didakwa kerana penyalahgunaan dadah. -Gambar fail
Remaja perempuan yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan satu kematian di Sungai Dua akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok.
Suspek 19 tahun yang kini dalam reman itu akan didakwa kerana penyalahgunaan dadah.
Ketua polis daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid yang dihubungi memberitahu suspek akan didakwa di bawah Seksyen 15 (1), Akta Dadah Berbahaya.
Polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah kepada pendakwaraya.
Dalam insiden 7.50 pagi Selasa itu, suspek memandu melawan arus sejauh lima kilometer dari Plaza Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth.
Dia kemudian merempuh sebuah Perodua Kelisa dan menyebabkan kematian pemandunya Mohamad Fandi Rosli, 26 tahun.
Suspek merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah kategori mempunyai masalah pembelajaran.
#lawan arus #Mahkamah Majistret Bukit Mertajam #Nik Ros Azhan #Orang Kurang Upaya #Seberang Perai