Suspek kes kelar sampai mati pelajar UiTM diarah bela diri

Bernama
Oktober 31, 2016 12:19 MYT
Tukang masak Syarafi Abu, 26, (tengah) diperintah membela diri bagi tuduhan membunuh seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang tahun lalu di Mahkamah Tinggi Taiping hari ini. - Foto Bernama
Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang tukang masak membela diri atas tuduhan membunuh seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syarafi Abu, 26.
Mohamed Zaini menetapkan tarikh perbicaraan 13 Dis ini setelah tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah dan pihak pembelaan akan kemukakan dua orang saksi.
Pendakwaan dikendalikan Mohd Amril Johari dan Mohd Azrul Faidz, manakala pembelaan diwakili Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.
Kira-kira 12 tengah hari pada 2 Feb tahun lalu, suspek bertindak mengelar leher Nursyuhada Johari yang bersamanya ketika itu menaiki kereta jenis Proton Perdana di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.-- BERNAMA
#Kelar pelajar UiTM #Nursyuhada Johari #Syarafi Abu
;