Suspek kes dadah mati mengejut di lokap

Bernama
November 29, 2012 17:22 MYT
Seorang lelaki yang direman berkaitan kes dadah, ditemui mati di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, awal pagi Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kematian lelaki berusia 51 tahun itu disedari seorang daripada sembilan tahanan yang berada di dalam lokap itu, sebelum pihak polis menghubungi Hospital Kuala Lumpur pada 2.15 pagi.
"Lelaki itu ditahan reman sejak empat hari lepas dan remannya berakhir pada 3 Dis ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran SMS Tinjauan Kepuasan Pelanggan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.
Menurut beliau HKL mengesahkan lelaki itu mati mengejut kerana mempunyai rekod penyakit asma.
Lelaki tersebut ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#Dadah #Dang Wangi #Ku Chin Wah #mati #mengejut #polis
;