Suspek kes culik Albertine Leo direman lagi 6 hari

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 5, 2024 03:50 MYT
Suspek ditahan semula pada Ahad susulan penemuan bahan pornografi dan peralatan seks di kediamannya di Kulai. - Foto fail/Astro AWANI
KULAI: Suspek kes culik kanak-kanak perempuan enam tahun Albertine Leo Jia Hui direman enam hari lagi, bermula hari ini sehingga Sabtu ini (10 Ogos).
Perintah reman terhadap suspek lelaki berumur 31 tahun dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi di Mahkamah Majisteret Kulai di sini selepas membenarkan permohonan polis.
Perintah reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan Sekayen 292 Kanun Kesekaan kerana memiliki bahan lucah.
Pada Ahad, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkara suspek yang ditahan sebelum ini, dibebaskan dengan jaminan polis, sebelum ditahan semula semalam, susulan penemuan bahan pornografi dan peralatan seks di kediamannya di Kulai.
Suspek sebelum itu ditahan reman keseluruhannya selama 13 hari bagi membantu siasatan kes penculikan mangsa di Iskandar Puteri, Johor pada 20 Julai lalu.
Pada 23 Julai lalu, suspek ditahan bersama mangsa kira-kira jam 4.45 pagi di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.
Suspek kemudian ditahan reman selama tujuh hari sebelum disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan mengikut 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Empat suspek lain berusia antara 28 hingga 56 tahun yang ditahan sebelum ini bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.
#Albertine Leo #reman #suspek #bahan lucah