Suspek kes cabul peserta Unduk Ngadau didakwa esok
Junaidi Ladjana
Jun 9, 2021 17:24 MYT
Jun 9, 2021 17:24 MYT
KOTA KINABALU: Polis Sabah mengesahkan siasatan kes gangguan seksual membabitkan peserta Unduk Ngadau selesai dan proses pendakwaan akan dijalankan esok.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, hasil siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara hari ini untuk arahan serta tindakan selanjutnya.
Katanya, siasatan kes berkenaan selesai berikutan proses soal siasat terhadap 12 individu yang dipercayai terlibat sudah dilaksanakan.
"Seramai 12 individu disoal siasat termasuk peserta Unduk Ngadau dan seorang lelaki warganegara Australia yang bekerja dengan ahli politik terbabit.
"Tahanan reman ahli politik terbabit juga sudah berakhir semalam dan kini menunggu tindakan dan arahan selanjutnya daripada Pejabat Peguam Negara untuk pendakwaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Hazani berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Ahli politik berkenaan ditahan 3 Jun lalu bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang diterima daripada salah seorang peserta Unduk Ngadau yang mendakwa dicabul suspek.
Suspek didakwa melakukan kesalahan itu semasa mengajak mangsa makan malam selepas membuat penggambaran di salah sebuah butik pengantin di Asia City.
Sementara itu pada Isnin, seorang lelaki warga asing yang bekerja dengan suspek tampil membuat video secara langsung melalui akaun media sosialnya dan menulis kenyataan media kepada umum.
Ia bagi memperincikan perbuatan dan kegiatan tidak bermoral ahli politik terbabit sepanjang bekerja dengannya selama dua bulan.
Lelaki tersebut mendakwa dirinya ditugaskan untuk menyediakan gambar serta rakaman video bagi pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri baru-baru ini.
Antara lain, polis juga menerima satu lagi laporan daripada pengawal keselamatan yang mendakwa dikasari suspek di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang bulan lalu.
#kes cabul Unduk Ngadau
#dakwaan cabul
#kes cabul di Sabah
#unduk ngadau
#Pesta Kaamatan
#ahli politik Sabah