Suspek kes bunuh wanita di hotel bajet minum racun untuk bunuh diri

Bernama
Jun 11, 2014 17:15 MYT
Suspek yang dipercayai abang ipar wanita itu ditahan di Hospital Teluk Intan, Perak
Polis menahan seorang lelaki berumur 26 tahun untuk membantu siasatan berhubung kes seorang wanita ditemui mati dalam keadaan berbogel dalam sebuah bilik hotel bajet di Kelana Jaya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata suspek yang dipercayai abang ipar wanita itu ditahan di Hospital Teluk Intan, Perak awal hari ini setelah menerima maklumat orang awam.
"Suspek melarikan diri ke Teluk Intan dan minum racun untuk membunuh diri. Namun, dia ditahan polis untuk membantu siasatan. Dia kini dalam keadaan selamat," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau juga berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui sama ada mangsa dirogol atau tidak.
"Kita (polis) tidak tahu hal keluarga suspek, semuanya dalam siasatan," katanya.
Dalam kejadian semalam, wanita berusia 22 itu, juruwang di sebuah pusat terapi spa di sini, ditemui mati dalam keadaan berbogel dalam sebuah bilik hotel bajet di Kelana Jaya, semalam.
Mangsa dikatakan mendaftar masuk di hotel bajet itu dengan abang iparnya pada 4 petang Isnin sebelum lelaki terbabit menghilangkan diri tengah hari semalam. Mangsa dipercayai dicekik berdasarkan kesan lebam di leher.
#bunuh #hotel #Kelana Jaya
;