Suspek kes bunuh Siti Soffea ada empat rekod jenayah lampau - Polis
Haider Yutim
Jun 3, 2014 17:53 MYT
Jun 3, 2014 17:53 MYT
Polis hari ini mengesahkan mayat lelaki yang ditemui lemas di Sungai Klang pada Sabtu lepas, adalah suspek kes pembunuhan kanak-kanak perempuan, Siti Soffea Emelda.
"Pada hari ini, pihak polis telah menerima laporan cap jari suspek yang ditemui mati lemas ketika terjun untuk melarikan diri daripada tangkapan awam yang ternampak kejadian bunuh kes ini. Suspek disahkan warga tempatan berasal dari Kulim, Kedah, berusia 27 tahun, menetap di Lorong Tiong Nam Jalan Raja Laut,Kuala Lumpur," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng.
Katanya dengan pengesahan laporan cap jari tersebut, pihak polis akan menghubungi waris si mati yang berada di Sg Petani dan Kulim Kedah, untuk membuat pengecaman ke atas mayat dan seterusnya urusan penyerahan mayat untuk pengkebumian.
Selain itu, katanya berdasarkan rekod, suspek memiliki empat rekod jenayah bersabit kesalahan memiliki dadah, mencuri kenderaan dan memiliki senjata berbahaya dan baru dibebaskan dari penjara sejak dua bulan yang lepas sebaik selesai menjalani hukuman berhubung kesalahan memiliki senjata berbahaya.
Bagaimanapun, kata Gan, pihak polis setakat ini masih berusaha untuk mengenal pasti motif kes pembunuhan kanak-kanak tersebut.
Jelasnya, beberapa saksi terutamanya mereka yang sering melepak di Plaza Kota Raya dan sekitar bawah jambatan berhampiran tempat kejadian di Jalan Syed Putra akan turut dihubungi bagi membantu siasatan.
Katanya selain dari memfokuskan siasatan terhadap motif pembunuhan kes ini, pihak polis juga sedang meneliti mengenai kemungkinan wujudnya kesalahan terhadap penjaga kanak-kanak tersebut, tentang samada wujudnya 'kesalahan kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan'.
Menurutnya, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2011 (Akta 611), jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Pada 30 Mei lalu, Siti Soffea telah menjadi mangsa seorang lelaki tidak berhati perut yang dikatakan telah menghentak kepala mangsa dengan serpihan seramik serta mengelar leher mangsa sehingga putus.
Suspek turut dilihat cuba membaringkan mangsa dipercayai cuba untuk mencekiknya di tempat kejadian yang terletak berdekatan tebing Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan.
Lelaki yang dipercayai warga tempatan itu terjun ke dalam sungai sewaktu mengelak daripada ditangkap orang ramai dan anggota polis bantuan yang melihat kejadian.
Sehari selepas itu, polis telah menemui mayat suspek tersebut dalam arus Sungai Klang di bawah tol Sunway Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Shah Alam.