Suspek kes bunuh Nur Farah Kartini belum ditahan tugas - Polis Perak

Sinar Harian
Julai 17, 2024 17:15 MYT
Suspek direman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan. - Foto Astro AWANI
IPOH: Polis Perak sedang menunggu hasil siasatan terhadap suspek yang juga anggota di kontinjen negeri itu sebelum tindakan jabatan diambil berhubung kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya sedang menunggu laporan siasatan kes itu daripada Polis Selangor.
"Setakat ini, suspek belum ditahan tugas. Proses itu akan dilaksanakan apabila lelaki itu dituduh di mahkamah," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, Azizi dilaporkan berkata, suspek yang ditahan berhubung kehilangan wanita itu sudah berkhidmat selama lima tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Suspek berusia 26 tahun itu adalah anggota berpangkat Lans Koperal di Balai Polis Slim River.
Kes itu yang pada mulanya disiasat oleh Kontinjen Perak di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang, kini diserahkan kepada Polis Kontinjen Selangor.
Suspek itu direman tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan mayat wanita itu ditemui kira-kira jam 6 petang.
Pemeriksaan awal mendapati, mayat terbabit dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim, Perak pada 10 Julai lalu.
Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.
Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju korporat muslimah warna biru jeans, bertudung dan berseluar hitam.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Nur Farah Kartini #Pembunuhan
;