Suspek kes bunuh di hentian bas disambung reman

Sinar Harian
Julai 22, 2024 05:50 MYT
Suspek (tengah) dikawal polis menuju ke lokap Mahkamah Kota Bharu. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Reman terhadap suspek kes pembunuhan di kaki lima sebuah perhentian bas, disambung enam hari di Mahkamah Majistret, di sini, pada Isnin.
Perintah sambung reman ke atas suspek berusia 47 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret, Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Tempoh reman diarah berkuat kuasa bermula pada Selasa sehingga Ahad ini.
Permohonan reman terbabit bagi membolehkan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
Pada 16 Julai lalu, suspek direman selama tujuh hari dan berakhir pada Isnin.
Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditemukan maut dalam keadaan terbaring dipercayai ditikam pada bahagian belakangnya di kawasan kaki lima sebuah perhentian bas di Jalan Wakaf Siku,di sini, pada 13 Julai lalu.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#kes pembunuhan di perhentian bas #remah disambung #Mahkamah Majistret Kota Bharu #dipercayai ditikam