Suspek kelar isteri dan anak minta izin tidur di masjid - Imam
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 20, 2024 16:45 MYT
Ogos 20, 2024 16:45 MYT
ALOR SETAR: Suspek yang direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan isteri dan anak perempuannya telah memohon untuk menumpang tidur di Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang pada malam Isnin.
Imam masjid Mohd Fauzi Bakar, 62, berkata, semasa dia mahu keluar masjid untuk ke majlis tahlil, kelihatan lelaki tersebut berada di atas tangga di hadapan pintu masuk masjid tersebut kira-kira jam 9 malam.
“Saya ada dalam majlis tahlil dan ketika itu, lelaki tersebut kata anaknya tidak sihat dan saya pegang kepala anaknya dan baca al-Fatihah dan ayat kursi dalam dua tiga minit.
“Dia minta izin nak tidur di sini, dia kata anaknya sejuk dan prosedur masjid tidak bagi tidur di dalam, kita minta tidur di luar dan dia minta pasang lampu,” katanya semasa ditemui Astro AWANI di Masjid Nurul Hidayah, di sini pada Selasa.
Jelas, semasa kejadian beberapa jemaah telahpun memadam lampu di masjid berkenaan dan suspek yang memakai kain pelikat dan baju itu kemudiannya diberkas polis.
“Ada jemaah yang datang kepada saya dan bisik ini kes bunuh ustaz, masa itu baru saya tahu tapi saya serahkan kepada anggota polis yang turut berada di situ kerana mahu pergi ke majlis tahlil,” ujarnya.
Pada Selasa, seorang lelaki warga asing ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan isteri dan anak perempuannya ditemukan dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim pada Isnin.
Perintah reman dikeluarkan bermula Selasa hingga 26 Ogos depan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, warganegara asing berusia 43 tahun ditahan di sebuah Masjid di Bukit Pinang pada jam 9 malam pada Isnin.
#suspek kelar isteri dan anak
#mohon izin
#tidur di masjid
#Masjid Al Hidayah
#imam masjid
#Alor Setar