Suspek kelar isteri, bayi sampai mati direman tujuh hari
Muhammad Aiman Hakeem
Julai 5, 2022 12:05 MYT
Julai 5, 2022 12:05 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang disyaki membunuh dengan mengelar leher isteri dan bayi berusia tiga bulan direman tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Nur Izzaty Muhammad Zahari, yang membenarkan permohonan reman polis di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Suspek yang berusia 24 tahun itu tiba di mahkamah sekitar jam 9 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.
Dia ditahan 2.45 petang semalam di Permas Jaya, beberapa jam selepas melarikan diri dalam keadaan bogel dengan menunggang motosikal.
Suspek yang bekerja sebagai pencuci kapal itu disyaki membunuh isterinya yang berusia 26 tahun dan anak lelakinya di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 12.42 tengah hari.
Sebilah pisau pemotong daging yang digunakan suspek bersama sebuah motosikal turut dirampas.
Dalam perkembangan lain, jenazah ibu dan anak itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu sebelum solat Zohor hari ini.