Suspek kelar dan bunuh rakan pembuat pau direman tujuh hari

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 5, 2019 14:24 MYT
Dalam kejadian pagi Ahad suspek (tengah) dipercayai bertindak mengelar leher mangsa dengan menggunakan pisau pemotong daging selepas berang kerana mangsa mencuri wangnya sebanyak RM500.
Seorang lelaki warga Myanmar direman seminggu bagi membantu siasatan kejadian bunuh di rumah kedai dua tingkat di Taman Bunga Raya, Sungai Petani pada Ahad.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Seksyen, Sungai Petani, Dalilah Ismail, bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superitenden Sazali Adam, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 11 Ogos ini.


Dalam kejadian pagi Ahad suspek dipercayai bertindak mengelar leher mangsa dengan menggunakan pisau pemotong daging selepas berang kerana mangsa mencuri wangnya sebanyak RM500.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di lantai premis membuat kuih pau pada jam 1.30 tengahari oleh pemilik premis yang ketika itu baru pulang dari menghantar kuih pau ke kedai di sekitar bandar Sungai Petani.
Mangsa dan suspek dikatakan baru bekerja sebagai pembuat kuih pau di premis itu sejak tiga bulan lalu.

Menurut Sazali, tindakan pantas pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Muda sebaik sahaja mendapat maklumat berjaya menahan suspek di Stesen Bas Ekpres Komplek UTC, Sungai Petani pada jam 4.10 petang.

Ketika ditahan suspek hendak membeli tiket bas untuk melarikan diri dengan menaiki bas ekspres.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#bunuh #jenayah #kelar #mahkamah #mangsa #mayat #pembuat pau #polis #siasatan #Sungai Petani #suspek
;