Suspek kejadian tembak anggota polis direman enam hari
Adie Sufian Zulkefli
Mac 1, 2024 13:21 MYT
Mac 1, 2024 13:21 MYT
SIK: Suspek kejadian tembak seorang pegawai rendah polis Cawangan Khas (SB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di kawasan Konpartmen 124 Hutan Simpan Ulu Muda, Sik direman enam hari.
Perintah reman bermula hari ini hingga 6 Mac dikeluarkan Majistret Noor Fazlina Musa selepas suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, penahanan suspek berusia 65 tahun itu bagi membantu polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Pada Khamis, Astro AWANI melaporkan, seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang anggota rendah polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang terkena tembakan di kawasan Konpartmen 124 Hutan Simpan Ulu Muda, awal pagi Khamis.
Suspek ditahan jam 2 petang ketika hadir menyerah diri di Balai Polis Sik.
Mangsa adalah koperal polis berusia 39 tahun dari Bahagian Anti Pengganas (E8) menyertai pemantauan terbabit pada 27 Februari lalu.
Mangsa yang juga anggota cawangan khas (SB) maut dipercayai terkena tembakan ketika melaksanakan pemantauan di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik.
Sementara itu, Abdull Razak memaklumkan bedah siasat ke atas mangsa dijalankan hari ini dan keputusan hasil bedah siasat dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat.