Suspek judi mati mengejut dalam serbuan di Tanjung Malim

Bernama
Julai 3, 2018 05:35 MYT
Suspek dikatakan telah bertindak agresif terhadap pihak polis untuk melepaskan diri daripada ditangkap dan rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri. - Gambar hiasan
Seorang lelaki meninggal dunia semasa serbuan oleh polis berkaitan aktiviti pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia 2018 di Pekan Behrang Stesen dekat Tanjung Malim, pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata serbuan pada kira-kira pukul 10 malam itu dilakukan oleh Pasukan Skuad Taktikal Khas 3, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Katanya serbuan dilakukan berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya mengenai suspek yang berumur 42 tahun menjalankan aktiviti pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia 2018.
"Semasa serbuan dilakukan, suspek cuba melupuskan barang bukti dipercayai sekeping kertas pertaruhan dengan memasukkan ke dalam mulut dan menelan serta menghempas sebuah komputer riba ke atas lantai apabila menyedari kehadiran pihak polis.
"Suspek juga telah bertindak agresif terhadap pihak polis untuk melepaskan diri daripada ditangkap dan rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri semasa polis sedang melakukan tangkapan," katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Razarudin berkata polis segera menghubungi Hospital Slim River untuk mendapatkan bantuan kecemasan dan suspek telah disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas semasa tiba di hospital berkenaan.
Menurutnya bedah siasat bagi mendapatkan bukti punca kematian suspek dijangka akan dilakukan pada pukul 9.30 pagi esok.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1963 kerana menjalankan pertaruhan judi bola sepak.
Dalam perkembangan lain, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri ACP V. R. Ravi Chandran berkata pihaknya menahan tiga individu termasuk dua wanita serta merampas dadah pelbagai jenis dadahdi Pulau Tiga dekat Kampung Gajah, pagi semalam.
Beliau berkata kesemua suspek yang berumur lingkungan antara 31 hingga 48 tahun itu ditahan pada pukul 8 pagi di sebuah rumah.
"Nilai dadah yang dirampas dianggar bernilai RM4,560 dan polis turut menyita sebuah motosikal Demak milik suspek lelaki yang dianggarkan bernilai RM3,000," katanya.
Ravi Chandran berkata ujian air kencing terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis morfin, methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC).
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
-- BERNAMA
#bola sepak #jenayah #judi #meninggal dunia #Piala Dunia #polis
;