Suspek edar gambar lucah kanak-kanak ditahan di Jinjang
Astro Awani
Oktober 14, 2016 21:52 MYT
Oktober 14, 2016 21:52 MYT
Polis berjaya menahan seorang suspek yang dipercayai membuat pengkongsian gambar-gambar lucah melibatkan kanak-kanak di laman sosial.
Penangkapan suspek berusia 20 tahun di Jinjang Utara, Kuala Lumpur pada pagi Jumaat dilakukan selepas mendapat maklumat daripada polis Taiwan.
Dia kini direman empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh dalam satu kenyataan berkata polis Taiwan telah memaklumkan gambar-gambar lucah kanak-kanak itu dipercayai dimuat naik di Malaysia berdasarkan alamat IP yang digunakan pada komputer tersebut.
Menurutnya, hasil siasatan oleh polis telah berjaya mengesan alamat IP berkenaan yang didaftarkan atas nama seorang lelaki yang menetap di Jinjang Utara.
Katanya, serbuan bagi menangkap suspek berkenaan pada 9.50 pagi dilakukan sepasukan polis dari bahagian D-11 dan Jenayah Komersial Bukit Aman serta Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur.
Turut dirampas beberapa barang kes termasuk telefon bimbit, komputer riba, modem, CPU dan pasport.
Kesemua barang kes dihantar ke Jabatan Forensik untuk dianalisis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.