Suspek depa tangan selepas menghampiri Jong Nam - saksi
Hafiz Marzukhi
Oktober 11, 2017 13:12 MYT
Oktober 11, 2017 13:12 MYT
Kedua-dua suspek kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong Nam dilihat 'menjarakkan' tangan mereka dari badan masing-masing setelah menghampiri dan 'bertindak agresif' terhadap mangsa, mahkamah dimaklumkan hari ini.
Perkara ini dikongsi saksi kesembilan ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz yang merupakan Pegawai Penyiasat Kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin.
"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), saya melihat suspek wanita yang memakai baju-T putih, iaitu Doan Thi Huong, menadah dan mendepakan tangannya dan bergerak ke tandas di Tingkat 2 dari Tingkat 3," kata Wan Azirul.
Berdasarkan masa yang tertera dalam rakaman CCTV, Doan dilihat meluangkan masa selama seminit di dalam tandas.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa seorang lagi suspek wanita yang memakai baju tidak berlengan, iaitu Siti Aisyah, 'merenjis-renjis' tangannya dan bergerak melalui satu lorong selepas 'bertindak agresif' terhadap Jong Nam
"Pergerakan tangan yang dibuat suspek adalah seolah-olah dia tengah kepanasan," kata Wan Azirul.
Sesi periksa balas Wan Azirul akan bersambung pada sesi petang di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
#doan thi huong
#kim jong nam
#Korea Utara
#mahkamah
#saksi
#siti aisyah
#suspek
#Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz