Suspek curi telefon bimbit di Plaza Low Yat didakwa hari ini
Astro Awani
Julai 14, 2015 08:50 MYT
Julai 14, 2015 08:50 MYT
Suspek yang ditangkap kerana mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat pada Sabtu akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta, pagi ini.
Pemuda berusia 22 tahun itu dijangka akan didakwa pada jam 11 pagi mengikut seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
Jika sabit kesalahan di bawah seksyen itu, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Suspek sebelum ini direman selama tiga hari sejak Sabtu lalu.
Selain suspek, 18 lagi suspek yang terbabit dalam insiden pergaduhan dan rusuhan di Plaza Low Yat masih ditahan reman.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah membuka empat kertas siasatan berhubung insiden rusuhan berkenaan.
Kes adalah disiasat mengikut seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan seksyen 148 kanun sama kerana merusuh menggunakan senjata.