Suspek curi kabel TM ditahan selepas dikejar polis 100km
Bernama
Januari 25, 2024 23:17 MYT
Januari 25, 2024 23:17 MYT
DUNGUN: Polis menahan seorang lelaki manakala dua lagi rakan melarikan diri selepas lori dinaiki mereka dikejar anggota polis sejauh hampir 100 kilometer (km) di sini, hari ini
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Maizura Abdul Kadir berkata ketiga-tiga suspek berkenaan yang menaiki lori Isuzu dikesan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Santong, Paka pada jam 4 pagi tadi.
Beliau berkata pemandu lori berkenaan kemudian diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan, bagaimanapun dia bertindak memecut laju memasuki Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan merempuh penghadang Plaza Tol Paka.
"Mereka kemudian melarikan diri ke arah Kuala Terengganu dan keluar di Plaza Tol Ajil sebelum berpatah balik ke Dungun, melalui jalan Jerangau-Jabor.
"Suspek juga bertindak merempuh satu lagi penghadang tol ketika keluar dari LPT2 dan sebuah sekatan jalan raya di kawasan Jerangau, sebelum melalui jalan Tok Kah dan keluar di simpang Kampung Pulau Serai menuju bandar Dungun," katanya di sini hari ini.
Maizura berkata lori tersebut kemudian berhenti berhampiran Jambatan Nibong, sebelum pemandu dan kelindannya yang masing-masing berusia lingkungan 30-an bertindak melarikan diri.
Bagaimanapun, katanya, seorang lagi suspek lelaki berusia 35 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang gagal meloloskan sebelum ditahan polis pada jam 6.55 pagi tadi.
"Hasil pemeriksaan pada belakang kenderaan tersebut mendapati terdapat kabel syarikat Telekom Malaysia (TM) sepanjang 44.2 meter dipercayai dicuri suspek.
"Polis ketika ini sedang mengesan dua suspek yang masih bebas dan suspek yang telah ditahan didapati memiliki sembilan rekod lampau berkaitan dadah dan kita akan jalankan ujian urin ke atasnya," katanya.
-- BERNAMA