Suspek culik Albertine Leo ditangkap semula

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 4, 2024 01:15 MYT
Suspek sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari sebelum disambung enam hari lagi bagi siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Polis membuat tangkapam semula terhadap suspek kes culik kanak-kanak perempuan enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, hari ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, tangkapan semula itu dibuat bagi membantu siasatan susulan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Menurut beliau, kesemua alatan itu ditemui di kediaman suspek di kawasan Kulai.
"Kita membuat tangkapan semula ke atas suspek lelaki tempatan yang sebelum ini ditahan berhubung kejadian culik di kawasan Eco Galeria, Iskandar Puteri, pada 20 Julai lalu, pada hari ini.
"Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Kumar, suspek lelaki berusia 31 tahun itu dijangka dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman baharu.
Sebelum ini, tempoh sambungan reman suspek tamat hari ini dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebelum tangkapan semula dibuat.
"Polis menasihatkan masyarakat terutamanya golongan ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan lebih awal dan penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan.
"Masyarakat perlu cakna terhadap tren jenayah masa kini dan menyampaikan kesedaran serta kebimbangan jenayah kepada anak-anak supaya mereka lebih berhati-hati dalam pergaulan terutama di media sosial," katanya.
Pada 23 Julai lalu, suspek ditahan bersama mangsa, kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu, di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor.
Suspek kemudian ditahan reman selama tujuh hari sebelum disambung enam hari lagi bagi siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.
Empat suspek lain berusia 28 hingga 55 tahun yang ditahan sebelum itu direman empat hari sehingga 26 Julai lalu, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan tempoh reman terhadap mereka tidak disambung.
#kes culik #Albertine Leo #suspek kes culik #ketua polis johor