Suspek bunuh warga Ireland dipercayai ada di Filipina
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 6, 2019 20:57 MYT
Mac 6, 2019 20:57 MYT
Suspek utama pembunuhan seorang warga Ireland, Brian Patrick O' Reilly, di sebuah kondominium di sini, Isnin lalu sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasagaran berkata, siasatan polis mendapati suspek lelaki warga asing itu sudah melarikan diri dari negara ini dan dipercayai berada di Filipina.
Namun pihak polis mempunyai butiran suspek dan sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan lelaki terbabit, katanya.
Sementara itu, dua individu – seorang wanita dan seorang lelaki – turut direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Lelaki tempatan berusia 45 tahun dan wanita berusia 41 tahun itu ditahan selepas kelibat mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) beberapa hari sebelum kejadian bunuh berlaku.
Berdasarkan rakaman tersebut, O' Reilly bersama tiga individu dilihat menaiki lif untuk ke tingkat 12 pada pukul 9.57 malam 1 Mac lalu, namun keluar semula lima minit kemudian.
Rakaman itu juga menunjukkan, keesokan harinya, seorang lelaki warga asing berkulit putih keluar seorang diri dari kondominium yang terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah itu dengan membawa beg pakaian.
Isnin lalu, mayat O' Reilly, 51 tahun, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di unit kondominium terbabit yang juga kediamannya.
Mayat ditemui dalam keadaan terlentang dengan tangan diikat dengan tali kasut dan kakinya diikat dengan kain.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tikaman di perut, kesan kelar di leher selain kecederaan di kepala, dipercayai akibat diketuk dengan kuali.
Polis turut menemui sekeping nota berhampiran mangsa, dipercayai ditinggalkan suspek selepas membunuhnya.
Nota itu bertulis: "I respected the police & still do but justice sometimes has to be gained. I hate you mafia killing scammers, I love my girl she is …" (tidak jelas).
O' Reilly yang bekerja sebagai pengurus teknologi maklumat (IT) sebuah syarikat pemasaran yang berpengkalan di Singapura itu dipercayai meninggal dunia hampir 24 jam sebelum ditemui.
Kejadian disedari seorang agen hartanah yang gagal menghubungi mangsa untuk mendapatkan kunci pejabatnya bagi membaiki penghawa dingin.
O' Reilly mendaftar masuk ke kediaman itu pada 4 Feb lalu.