Suspek bunuh tiga sekeluarga direman, ditahan merayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 14, 2024 02:40 MYT
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bermula hari ini sehingga 20 Ogos bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. - Gambar Astro AWANI
MUAR: Suspek utama yang dipercayai membunuh sebelum membakar kediaman keluarganya sehingga menyebabkan kematian ibu bapa serta anak saudaranya di Kampung Paya Redan di Pagoh, Jumaat lalu direman di Mahkamah Majistret Muar hari ini.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bermula hari ini sehingga 20 Ogos bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Suspek yang berjaya dicekup selepas lima hari menghilangkan diri dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar kira-kira pukul 9.13 pagi tadi dengan dikawal ketat oleh pegawai dan anggota polis.
Lelaki yang masih bujang itu difahamkan berjaya ditahan ketika sedang merayau-rayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sekitar pukul 1 pagi tadi.
Penahanan itu dibuat okeh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah (BJSD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas menerima maklumat awam.
Dalam kejadian tragis yang meragut nyawa tiga ahli keluarganya pada Jumaat lalu itu, suspek dikatakan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal yang ditungganginya di Hentian Bas Bentayan, di sini sebelum menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Terdahulu, dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu pasangan warga emas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, 11, maut selepas rumah mereka hangus dijilat api.
Pasangan warga emas itu maut dilokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HPSF.
Kanak-kanak berusia 11 tahun berkenaan kemudian selamat disemadikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Paya Redan manakala jenazah datuk dan neneknya masih belum dapat dituntut sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaanya yang rentung lebih 80 peratus.
Polis yang pada awalnya mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut menukar siasatan kepada 302 kanun keseksaan kerana membunuh selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada badan ketiga-tiga mangsa yang maut.
#kes bunuh #kebakaran #tiga sekeluarga maut #merayau di Bukit Bintang