Suspek bunuh pelajar perempuan tingkatan empat di Klang direman - Polis

Astro Awani
Jun 27, 2022 18:21 MYT
ACP Cha Hoong Fong (dua, kanan) menunjukkan barangan yang dirampas dalam kes bunuh melibatkan seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini. - Foto BERNAMA
KLANG: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian pembunuhan seorang remaja perempuan yang ditemukan maut di hadapan rumah dekat Kampung Idaman, Pandamaran di sini semalam.
Suspek warga tempatan berusia 24 tahun itu yang dipercayai kekasih mangsa dicekup sejurus selepas kejadian dan direman sehingga 3 Julai ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas akibat ditekup.
Selain itu polis turut merampas bantal yang disyaki digunakan untuk melemaskan mangsa.
"(Kejadian) berlaku di rumah suspek lelaki, disyaki guna bantal jadi bantal kita jadi barang bukti, punca kematian adalah lemas akibat ditekup, mula-mula siasatan menunjukkan ke arah itu, tapi selepas post-mortem adalah lemas akibat ditekup, sama ada dia meniarap atau ditekup guna bantal itu tunggu siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, di sini, hari ini.
BACA: Pelajar tingkatan empat disyaki ditekup bantal hingga mati oleh kekasih
Sebelum itu katanya , polis menerima panggilan kira kira jam 3.40 pagi semalam yang melaporkan terdapat seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri di hadapan rumah berkenaan.
Soal siasat mendapati, pada jam 2 pagi, suspek membawa mangsa ke biliknya sebelum berlaku perselisihan faham sehingga menyebabkan kematian.
Suspek kemudiannya dipercayai mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah.
Suspek sendiri turut meminta bantuan ahli keluarga dan memaklumkan kepada pihak polis.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemeriksaan forensik juga menemui beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher remaja terbabit.
Mangsa merupakan pelajar sekolah berusia 16 tahun dan tinggal bersama bapa saudaranya di Puchong, manakala suspek yang juga penganggur adalah penghuni rumah berkenaan.
Siasatan awal mendapati, suspek berkenalan dengan mangsa sejak setahun lalu dan pernah membawanya ke rumah beberapa kali.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#remaja dibunuh #suspek ditahan #pandamaran #polis Klang
;