Suspek bunuh Nur Farah Kartini dibawa ke lokasi kejadian
Bernama
Julai 16, 2024 18:01 MYT
Julai 16, 2024 18:01 MYT
KUALA LUMPUR: Suspek kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah dibawa ke lokasi kejadian di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor, di sini, hari ini.
Lelaki itu dibawa menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna merah diiringi empat kenderaan lain.
Suspek yang disahkan seorang anggota polis itu tiba di lokasi kejadian pada 2.30 petang dengan memakai pakaian reman berwarna oren dan pelitup muka.
Sepanjang 15 minit di lokasi tersebut, suspek berusia 26 tahun itu dilihat menunjukkan kawasan semak-samun berhampiran anak sungai dipercayai lokasi sebenar mayat mangsa ditemukan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak Rabu lepas (10 Julai), ditemukan 6 petang semalam di ladang kelapa sawit berkenaan, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.
-- BERNAMA