Suspek bunuh Cikgu Istiqomah dijangka didakwa Isnin

Sinar Harian
Ogos 15, 2024 03:45 MYT
Ashari berkata pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan kes itu kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) untuk mendapatkan arahan lanjut hari ini.
ALOR GAJAH: Suspek kes pembunuhan guru wanita Istiqomah Ahmad Rozi, 33, di Melaka dijangka didakwa di mahkamah selewat-lewatnya Isnin depan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, berkata pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan kes itu kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) untuk mendapatkan arahan lanjut hari ini.
Beliau berkata, arahan berkenaan pendakwaan dijangka dikeluarkan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) pada petang ini atau esok.
“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, apabila siasatan telah lengkap kita akan dapat arahan daripada PPN yang dijangka paling lewat adalah esok.
“Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah juga akan mengeluarkan siaran media khas memaklumkan bila suspek akan dituduh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembunuhan Istiqomah yang mayatnya dikerat sekurang-kurangnya enam bahagian sebelum dicampakkan di beberapa lokasi berasingan.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan misteri penemuan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini 31 Disember lalu terjawab apabila disahkan milik Istiqomah.
Ia disahkan berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap ibunya pada 2 Ogos lalu yang mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.
Risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.
Suspek lelaki yang juga bekas guru itu kemudian direman sejak 6 Ogos lalu sebelum dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 19 Ogos ini.
Penahanan suspek utama itu membawa kepada penemuan beberapa bahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mayat mangsa dijumpai.
#Cikgu Istiqomah #kes mahkamah #identiti suspek #pendakwaan mahkamah